6 - 7 Mac 2024 - Mesyuarat ASEAN Medical Device Technical Committee (AMDTC) kali ke-13 telah berlangsung pada 6 hingga 7 Mac 2024. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Vietnam dan diadakan secara atas talian, melibatkan negara-negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Philippines, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

 

Mesyuarat AMDTC merupakan inisiatif yang melibatkan perbincangan di kalangan Pihak Berkuasa Kawalan Peranti Perubatan di kalangan negara ASEAN untuk menyelaras dan membincangkan keperluan kawal selia peranti perubatan bagi tujuan pengharmonian di peringkat ASEAN. Ia turut menjadi platform untuk negara ASEAN membincangkan isu-isu berkaitan dengan produk borderline dan pengkelasan risiko peranti perubatan di rantau ASEAN.

Delegasi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Malaysia diketuai oleh Puan Aidahwaty M. Olaybal, Pengarah Bahagian Kawalan Pra Pasaran (BKPP). Mesyuarat turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari BKPP, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (DASAR), Bahagian Antarabangsa dan Hubungan Industri (BHAI), serta Bahagian Pascapasaran & Penguatkuasaan (BPP).

Sebanyak 11 produk borderline dan 49 pengkelasan risiko peranti perubatan telah dibincangkan secara teliti dalam mesyuarat ini. Mesyuarat AMDTC kali ini telah berjaya mendapatkan persetujuan negara anggota untuk menyeragamkan 2 produk borderline dan 25 pengkelasan risiko peranti perubatan. Kejayaan ini menunjukkan komitmen negara-negara ASEAN dalam mencapai pengharmoniaan dari aspek pengawalseliaan peranti perubatan.

Penyeragaman ini akan memberi manfaat kepada industri peranti perubatan di Malaysia dan di seluruh rantau ASEAN. MDA berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi mengurangkan halangan teknikal, sekaligus menambah baik penyelarasan pematuhan, sekaligus memastikan tahap keselamatan dan kualiti peranti perubatan yang lebih baik di kalangan negara ASEAN.

 

Terima kasih diucapkan kepada Vietnam sebagai pengerusi mesyuarat AMDTC yang baharu dan kepada semua Pihak Berkuasa Peranti Perubatan ASEAN yang telah menyumbang kepada kejayaan mesyuarat AMDTC kali ke-13 ini. Harapan MDA agar kolaborasi ini dapat diteruskan dan memberi kesan positif kepada industri peranti perubatan di ASEAN.