10 Julai 2024 - Program Promosi Kesedaran Kepada Pengguna Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) telah diadakan di Hospital Sibu, Sarawak. Program ini turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Hospital-hospital, Jabatan Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah dan Klinik-klinik kesihatan di sekitar Sarawak.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) di hospital-hospital kerajaan di Malaysia. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memberi maklumat terkini mengenai penguatkuasaan, pendaftaran dan pelesenan peranti perubatan. Wakil daripada Bahagian Kawalan Pra Pasaran (BKPP), Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (DASAR) dan Bahagian Pascapasaran dan Penguatkuasaan (BPP) telah menyampaikan ceramah mereka pada program tersebut.

Pihak MDA juga telah mengadakan beberapa siri lawatan ke farmasi-farmasi di sekitar Sibu, Sarawak sejurus sahaja program tersebut selesai untuk mengedarkan brosur dan poster peranti perubatan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pihak penjual dan orang awam tentang kepentingan untuk menjual dan membeli peranti perubatan yang berdaftar dengan MDA. 

Selain itu, MDA juga turut mengadakan pameran di Star Mega Mall Sibu pada 11 Julai 2024 bagi memberi kesedaran dan penerangan tentang peranti perubatan kepada orang awam. Rata-rata yang berkunjung ke ruang pameran MDA memberi maklum balas yang positif dan baik terhadap inisiatif ini dan berharap agar ia dapat teruskan lagi di masa akan datang.