Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah menyertai Operasi Pangea XV yang merupakan satu tindakan kolektif di peringkat antarabangsa untuk menjalankan tindakan penguatkuasaan secara besar-besaran terhadap penjualan ubat-ubatan dan produk perubatan yang tidak memenuhi keperluan perundangan yang ditetapkan. Operasi ini diselaraskan oleh International Criminal Police Organization (Interpol) dengan penglibatan polis, kastam dan pihak berkuasa kesihatan di peringkat antarabangsa.

Di Malaysia, operasi ini diselaraskan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan melibatkan kerjasama beberapa agensi lain seperti National Central Bureau (NCB)/Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pos Malaysia dan CyberSecurity Malaysia. MDA telah turut menyertai operasi ini yang berlangsung pada 22 Jun - 5 Julai 2022.

Sepanjang operasi ini, sebanyak 5 platform e-dagang dan 3 media sosial iaitu facebook, instagram dan tiktok telah dipantau dan fokus diberikan kepada pelitup muka perubatan, sarung tangan perubatan, oximeter, termometer, kit ujian COVID-19, glucometer, kanta lekap dan alat tekanan darahSebanyak 792 pautan didapati melanggar seksyen 5, Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) dan arahan penurunan pautan telah dikeluarkan kepada pihak yang teribat.

Melalui saringan pintu masuk yang dijalankan di KLIA, Pulau Pinang dan Johor sepanjang Operasi Pangea XV, MDA telah melakukan 3 sitaan pelbagai peranti perubatan kerana pengimportan peranti perubatan tersebut disyaki melanggar seksyen 5 dan 15 Akta 737. Antara peranti perubatan yang disita termasuk 2,400 unit kit ujian COVID-19, 428 unit sarung tangan perubatan, 207 unit bandage, 250 unit kondom dan 150 unit picagari.

MDA juga telah menjalankan sebanyak 130 pemeriksaan ke atas farmasi dan premis-premis runcit lain untuk memastikan peranti perubatan yang dijual kepada orang awam adalah berdaftar di bawah seksyen 5 Akta 737. Melalui pemeriksaan yang dijalankan dalam tempoh Operasi Pangea XV ini, sebanyak 79 peranti perubatan yang dijual oleh 42 daripada premis yang diperiksa didapati melanggar keperluan pendaftaran kerana tidak berdaftar di bawah seksyen 5, Akta 737. Peranti perubatan tidak berdaftar yang paling banyak ditemui dalam operasi ini adalah sarung tangan perubatan (sebanyak 30 unit pelbagai jenama), diikuti pelitup muka perubatan (12), termometer (11), kit ujian COVID-19 untuk kegunaan profesional (5) dan selebihnya produk-produk lain.

Aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan semasa Operasi Pangea XV turut melibatkan satu serbuan ke atas sebuah syarikat yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan. Syarikat ini disyaki meletakkan dalam pasaran sarung tangan perubatan yang tidak berdaftar di bawah seksyen 5 Akta 737 tanpa lesen yang sah di bawah seksyen 15 Akta yang sama.  Syarikat ini juga telah meletakkan dalam pasaran kit ujian COVID-19. Sebanyak 26,400 unit sarung tangan perubatan dan 94 unit kit ujian COVID-19 telah disita semasa serbuan tersebut. 

Selain tindakan penguatkuasaan yang dinyatakan di atas, MDA telah meningkatkan aktiviti kesedaran awam dengan membuat 22 hantaran di media sosial, membuat 2 Facebook Live dan mengedar poster dan brosur di 130 premis farmasi dan premis runcit yang menjual peranti perubatan kepada orang awam

 

Ketua Eksekutif

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan

Cyberjaya

9 Ogos 2022

COLLAGE PANGEA XV