CYBERJAYA, 14 APRIL 2026 – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan peranti perubatan. Bahagian Penguatkuasaan MDA dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah melaksanakan dua (2) operasi serbuan dan sitaan terhadap dua syarikat di sekitar Shah Alam, Selangor susulan pelanggaran Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737). Operasi bersepadu ini melibatkan sebelas (11) orang anggota penguat kuasa MDA dengan kerjasama dua belas (12) orang pegawai penguat kuasa daripada LGM, dan telah dijalankan dari jam 10.45 pagi hingga 9.30 malam. Operasi bersepadu MDA-LGM tersebut turut melibatkan pemeriksaan ke atas enam (6) premis di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Serbuan terhadap syarikat pertama di Bukit Jelutong, Shah Alam mendapati kesalahan di bawah Akta 737, Seksyen 5 dan Seksyen 15, iaitu disyaki meletakkan dalam pasaran peranti perubatan yang tidak berdaftar serta beroperasi tanpa mematuhi keperluan pelesenan yang ditetapkan.
Sementara itu, syarikat kedua di Bandar Setia Alam, juga di Shah Alam, didapati melanggar Akta 737, Seksyen 15, kerana disyaki mengedarkan peranti perubatan tanpa lesen yang sah.
Hasil operasi, MDA telah merampas dan menyita sejumlah besar peranti perubatan berupa sarung tangan pemeriksaan (Examination Gloves) pelbagai saiz bersama dokumen-dokumen berkaitan. Nilai keseluruhan sitaan daripada kedua-dua syarikat dianggarkan sebanyak RM50,000 dan kes ini akan diteruskan dengan proses pendakwaan di mahkamah.
MDA ingin menegaskan bahawa sebarang aktiviti pengimportan, pengedaran dan penjualan peranti perubatan tanpa pematuhan kepada keperluan pendaftaran dan pelesenan MDA adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas di bawah Akta 737 dan peraturan-peraturan di bawahnya. MDA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk serbuan, sitaan dan pendakwaan terhadap mana-mana pihak yang ingkar.
Orang ramai digesa untuk menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti meragukan berkaitan peranti perubatan kepada pihak MDA bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara.