CYBERJAYA, 6 Februari 2024 – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah menganjurkan Mesyuarat MDA-Industry Collaborative Committee (MICC) Bilangan 1/2024. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif MDA, Dr. Muralitharan Paramasua dan dihadiri oleh pegawai-pegawai MDA dan persatuan-persatuan yang mewakili industri peranti perubatan iaitu Association of Malaysian Medical Industries (AMMI), Malaysia Medical Device Association (MMDA), Malaysia Dental Industry Association (MDIA), Malaysian Rubber Glove Manufacturers Association (MARGMA) dan Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM).

Antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat kali ini adalah isu-isu yang berkaitan pendaftaran peranti perubatan yang merangkumi pendaftaran semula peranti perubatan, notifikasi perubahan peranti perubatan, lesen establismen, perkara yang berkaitan pengimportan dan pengeskportan peranti perubatan.

Selain itu, turut dibincangkan isu-isu yang berkaitan pembangunan industri peranti perubatan di Malaysia bagi mengembangkan industri peranti perubatan, menggalakkan peranti perubatan berinovasi seterusnya untuk membuka peluang – peluang baru dan meningkatkan daya saing di peringkat global.

Melalui mesyuarat ini juga, MDA telah memberikan pemakluman terkini berkenaan pelaksanaan kawalan permit import di pintu masuk dan pemakluman penetapan dasar bagi pendaftaran peranti perubatan Kelas A.

Penglibatan berterusan bersama-sama dengan pihak industri melalui platform MICC ini diharapkan dapat membantu MDA dalam penyampaian maklumat yang tepat berkaitan dengan pelaksanaan kawal selia peranti perubatan. Selain itu, mendapatkan maklum balas daripada pihak industri berkenaan polisi-polisi yang telah dirancang dan yang telah dilaksanakan.