• Home
  • Announcement
  • Pengiklanan dan penjualan peranti Kit Ujian Pantas COVID-19 (COVID-19 Rapid Test Kit) dalam talian MYEG

Pengiklanan dan penjualan peranti Kit Ujian Pantas COVID-19 (COVID-19 Rapid Test Kit) dalam talian MYEG

KENYATAAN MEDIA KETUA EKSEKUTIF

PIHAK BERKUASA PERANTI PERUBATAN

Pengiklanan dan penjualan peranti Kit Ujian Pantas COVID-19 (COVID-19 Rapid Test Kit) dalam talian MYEG

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP) telah menerima pelbagai pertanyaan mengenai kit ujian pantas COVID-19 (COVID-19 rapid test kit) yang diiklan dan dijual secara dalam talian melalui portal MYEG. Kami ingin memaklumkan semakan mendapati PBPP tidak pernah mengeluarkan apa-apa kebenaran kepada MYEG untuk mengiklan, mengedar atau menjual peranti kit ujian pantas COVID-19 ini.

Paparan iklan yang dibuat oleh pihak MYEG ini boleh menimbulkan kekeliruan dan menggalakkan pembelian di kalangan orang awam. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko jangkitan kerana dikhuatiri orang awam tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk menginterpretasi keputusan ujian yang diperolehi dan mengendalikan situasi setelah mendapat keputusan ujian tersebut. Ujian pengesanan jangkitan COVID-19 perlu dilakukan oleh kakitangan kesihatan yang berkelayakan dan terlatih di fasiliti kesihatan yang diiktirafkan KKM untuk memastikan pengendalian dan rawatan pesakit dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan dan dengan itu dapat mengekang penularan wabak berkenaan.

Mana-mana syarikat atau establismen yang hendak membekalkan kit ujian COVID-19, hendaklah dipastikan peranti tersebut berdaftar dan syarikat telah mempunyai lesen establismen di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) yang sah. Walau bagaimanapun, semasa penularan wabak ini, mana-mana syarikat atau establismen boleh membuat notifikasi untuk pengecualian daripada pendaftaran bagi peletakan peranti kit ujian COVID-19 di pasaran melalui akses khas (special access). Mana-mana peranti kit ujian COVID-19 yang telah memperolehi pengecualian ini, pengiklanan peranti tersebut tidak dibenarkan sama sekali dan pengedaran hendaklah dibuat secara langsung ke premis-premis kesihatan yang telah dibenarkan. Mana-mana orang yang disabitkan kesalahan dalam hal ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ratus ribu ringgit (RM200,000) atau penjara bagi tempoh tidak melebih tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali di bawah seksyen 5(2) Akta 737, dan/atau dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit (RM300,000) atau penjara bagi tempoh tidak melebih tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali di bawah seksyen 44(2) Akta yang sama.

PBPP akan terus memantau pengiklanan, pengedaran dan penjualan kit ujian COVID-19 di pasaran termasuk penjualan dan pengedaran melalui platfom dalam talian bagi memastikan kit ujian COVID-19 yang berada di pasaran adalah selamat dan berkesan digunakan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana iklan berkaitan kit ujian COVID-19 dan sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan sebagaimana yang disarankan oleh KKM. Bagi mana-mana pihak yang ingin mengetahui status pendaftaran kit ujian COVID-19 semakan boleh dibuat dengan menghubungi PBPP melalui talian 03-82300300 atau email, .

Ketua Eksekutif

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan

Kementerian Kesihatan Malaysia

24 Mac 2020

Print

  Medical Device Authority (MDA),
Ministry of Health Malaysia,
Level 6, Prima 9, Prima Avenue II,
Block 3547, Persiaran APEC,
63000 Cyberjaya, Selangor, MALAYSIA

  +603 - 8230 0300
  +603 - 8230 0200 
 

Today 442 Yesterday 5103 Week 22852 Month 5545 Visitor Counter: 117305392

  • Last Modified: 30 May 2023.
facebooktwitterinstagramyoutube
Copyright © 2023 Medical Device Authority
Ministry of Health Malaysia
Best view with Firefox 64 and above, minimum resolution 1366x768