4 & 5 Mac 2024 - Susulan daripada peningkatan aduan berkaitan penggunaan peranti perubatan estetik oleh pengamal tidak bertauliah yang telah menyebabkan insiden ke atas pengguna, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah menetapkan beberapa peranti perubatan estetik sebagai Peranti Perubatan yang Ditetapkan (DMD) berdasarkan Seksyen 26 dalam Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).  Bagi menerangkan keperluan tersebut, MDA telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Dokumen Panduan Peranti Perubatan Yang Ditetapkan selama dua hari pada 4 & 5 Mac 2024 bertempat di Lexis Port Dickson. 

Bengkel ini telah dihadiri wakil daripada pihak berkepentingan seperti Bahagian Amalan Perubatan KKM, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan KKM, Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan KKM, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Pertubuhan Doktor Estetik Berdaftar Malaysia (PDEBM) serta Malaysia Medical Device Association (MMDA) untuk membincangkan secara terperinci kompetensi dan keperluan peranti perubatan estetik sebagai DMD dan prosedur permohonan permit DMD.

Cawangan Pengurusan Dasar dan Kajian Teknikal akan mengambil tindakan susulan daripada maklum balas dan pandangan yang diterima daripada bengkel ini dengan membangunkan dasar atau polisi bagi peranti perubatan estetik sebagai DMD dan membangunkan dokumen panduan yang komprehensif sebagai usaha membendung pengendalian peranti perubatan estetik oleh individu bukan pengamal perubatan bertauliah yang berpotensi menyebabkan komplikasi dan risiko keselamatan kepada pengguna awam.